Menurut sumber polis tiada wang tunai ditemui di tempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan jutawan itu membawa wang RM4 juta ketika menghilangkan diri.
Ini disahkan setelah polis menahan lapan suspek termasuk suspek utama kes berkenaan, seorang peguam bergelar Datuk, segala urusan berkaitan wang yang dijalankan mangsa dan suspek adalah melalui transaksi bank.
Menurut sumber terbabit juga, nilai transaksi yang dilakukan lebih besar daripada nilai yang tersebar sebaik berita kehilangan jutawan kosmetik berkenaan disiarkan.
Selain itu salah seorang penjenayah telah mengambil jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh.
Kerana kebodohan penjenayah tersebut jam itu telah menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan.
Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.
Manakala 4 daripada 8 suspek diberkas polis mengaku membelasah, membunuh dan membakar Datuk Sosilawati, pemandu, peguam dan pegawai bank dilaporkan hilang.
Suspek juga mengaku pernah terbabit dalam perlakuan sama membabitkan mangsa berbeza sebelum ini. Maka tidak hairanlah.. Alah bisa tegal biasa.
Memang perbuatan mereka teramat kejam.
'Membelasah', 'membunuh' dan 'membakar', bagi kita hanya sekadar 3 perkataan menggambarkan perbuatan jika tidak dinilai secara terperinci
Perbuatan tanpa perikemanusiaan suspek 'membelasah' 4 mangsa termasuk wanita, sukar dibayangkan. Pastinya sewaktu kejadian mangsa merayu, meraung dan menjerit kesakitan tetapi tidak diendahkan.
Pastinya sebelum menghela nafas terakhir mangsa terbabit menggigil dan merayu berulang kali agar mereka tidak dibunuh. Sukar untuk kita membayangkan saat suspek mencurahkan minyak petrol ke tubuh mangsa, menyalakan api bertujuan melupuskan bahan bukti dan kemudian mengutip abu mayat dan tulang sebelum dibuang ke Sungai Panchau, 2 kilometer dari lokasi kejadian.
Pasukan polis marin kemudian terpaksa menyelam mencari cebisan daging dan tulang manakala pegawai dan anggota forensik bertungkus-lumus mengumpulkan bahan bukti.